Tuesday, September 14, 2010 
 
SEJAK kegeringan Tuanku Sultan Ismail  Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Tengku Mahkota, Tengku  Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Sultan pada pada 14 Mei  2009, institusi keistanaan Kelantan agak berkemelut.
Pelbagai  perkara yang tidak sepatutnya berlaku yang mana perkara seumpamanya  tidak pernah berlaku di negeri-negeri lain, telah berlaku di Kelantan  yang secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada pentadbiran  negeri.
Semalam tercipta sejarah yang tidak dicipta oleh  negeri-negeri lain apabila Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Tengku  Mahkota dan Pemnagku Sultan telah diisytiharkan pemasyhuran sebagai  Sultan Kelantan ke-29.
Pengumuman telah dibuat oleh Menteri Besar  Kelantan, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah 15 daripada 17  anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang dipengerusikan Tengku  Abdul Halim Sultan Ibrahim yang juga Tengku Laksamana Kelantan telah  bermesyuarat pada pukul 9 pagi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri  Kelantan, Kota Darul Naim dan memutuskan supaya peristiharan pemasyhuran  dibuat.
Bekas Pengerusi MPN, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul  Aziz Tengku Mohd. Hamzah menyufatkan peristiwa yang berlaku merupakan  sejarah baru dalam kesultanan Kelantan. Ttidak pernah berlaku dalam  sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah  masih hidup. Sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat  selepas baginda sultan mangkat. Apa yang beraku adalah sejarah baru.
Kekanda  kepada Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa  adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda  tidak melepaskan takhta. Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku  Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi  syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah  Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.yakni sekiranya  baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang  munasabah dan atau pun jika sultan turun takhta.
Beliau yang  mendakwa hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita  yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup  dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian menegaskan  beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini  bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai  penderhaka.
Baginya sebarang usaha yang dijalankan untuk  menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan  menyalahi undang-undang. Beliau akan mendapatkan khidmat nasihat  perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar  segala kekeliruan akan terungkai.
Sukar untuk dipastikan sama ada  perisytiharan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra akan meredakan  kemelut atau sebaliknya apabila dua orang kuat MPN yakni Tengku  Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin Auisyah Putri tidak hadir. Apakah  mereka tidak hadir kerana membantu atau tidak mahu terlibat dalam apa  yang berlaku, juga sukar untuk dipastikan.
Apa puun sama ada  ianya akan meredakan keadaan atau sebaliknya, terutama kemelut istana,  Tuanku Muhammad Faris Petra kini adalah Sultan dan Yang Dipertuan bagi  Negeri Kelantan dan jajahan takluknya yang sah di sisi kerajaan dibentuk  ekoran mandat rakyat. Baginda kena akur kepada perlembagaan dan  Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri kerana atas kapasiti baginda sebagai  Tengku Mahkota dan Pemangku Sultan, maka bagindalah yang paling layak  menggantikan Sultan jika keadaan memerlukannya.
Yang membuat  keputusan pemasyhuran baginda adalah Majlis Perajaan Negeri Kelantan  yang pastinya arif tentang tanggungjawab dan peranan mereka. Lagi pun  bagi negeri yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja, negeri perlukan  raja atau sultan sebagai tunggak pemerintahan. Tempoh pemangkuan ada  tempoh masanya.
Pastinya, pada pendapat saya, walaupun apa  halangan yang baginda akan hadapi dari angkara pihak-pihak yang  menentang perisytiharan pemasyhuran baginda sebagai Sultan dan Yang  Dipertua bagi Negeri Kelantan dan sekalian tanah jajahan takluknya,  kerana sifat baginda yang serba sempurna di mata rakyat, pasti rakyat  akan berada di hadapan baginda untuk menentang segala rintangan dan  hadangan.
Sejak diisytiharkan sebagai Pemangku Sultan, belum ada  bari buruk tentan baginda, sebaliknya baginda sentiasa dipuji, malah  hubungan institusi keistanaan dengan kerajaan negeri menjadi sangat  mesra.
Apa pun, yang pastinya menjadi harapan rakyat Kelantan  sama ada yang bermastautin di negeri kelahiran mahu pun yang berada di  perantauan, malah tentunya menjadi harapan seluruh negara juga, supaya  keamanan serta kemakmuran dan ketenteraan awam dipelihara dan  terpelihara.
Mungkin apa yang berlaku itu pelik bagi rakyat  negeri-negeri lain tetapi kepada rakyat Kelantan ianya bukan pelik  sebagaimana mereka boleh tukar ganti kerajaan yang juga belum pernah  dibuat oleh rakyat negeri lain sebelum pilihanraya umum ke-12,  membuktikan bahawa orang Kelantan sanggup buat apa yang orang lain tidak  sanggup buat.