Sunday, October 23, 2011

Resolusi Perhimpunan MCA


Resolusi perhimpunan MCA minggu lepas terus mendesak kerajaan. Antara desakan mereka adalah, kerajaan mesti membantu pembangunan lebih 78 peratus sekolah Cina sedia ada melalui peruntukan khas.
Lembaga pentadbir sekolah Cina mesti dirujuk terutama berkaitan penempatan guru besar (pengetua), penolong kanan dan guru bahasa Melayu. Mereka mesti berlatar belakangkan Cina dan boleh berbahasa Cina dengan baik. Masa pembelajaran dan pengajaran bahasa Cina mesti dikekalkan minima 5 period seminggu. Tiap-tiap tahun inilah desakan yang kedengaran ketika perhimpunan tahunan mereka.




Soal untuk memandaikan pelajar yang lemah dalam komunikasi dan penulisan bahasa kebangsaan langsung tidak disentuh. Yang penting bagi mereka, anak Cina mesti pandai dalam bahasa Cina. Sekolah Cina mesti mendapat bantuan lebih dari sebelumnya, penguasaan bahasa Cina mesti diutamakan.

Sebelum ini Perdana Menteri amat bermurah hati bersetuju mengecualikan cukai terhadap mereka yang memberi sumbangan kepada tabung pembangunan sekolah Cina. Pendek kata, sekolah Cina hari ini mendapat perhatian yang begitu tinggi daripada pelbagai pihak. Kerajaan terpaksa tunduk demi mendapatkan undi. Undi pun belum ditentu diberikan.

Pertama, kerajaan tidak perlu tunduk kepada desakan atau keputusan lembaga pentadbir sekolah Cina. Kedua, pentadbiran sekolah Cina hendaklah ditentukan oleh pihak kerajaan, bukannya pentadbir sekolah.
Ketiga, sebahagian besar tanah sekolah Cina hendaklah diserahkan kepada kerajaan.
Keempat, bahasa Melayu hendaklah diajar melebihi period minima bahasa Cina.

Jika mereka tidak mahu melakukannya, adalah tidak wajar kerajaan tunduk kepada desakan mereka untuk menyamakan taraf sekolah vernakular dengan sekolah kebangsaan.

Yang amat menyedihkan, sama ada pelajar-pelajar Cina boleh menguasai bahasa kebangsaan atau tidak, langsung tidak menjadi agenda atau resolusi. Kita amat serius dengan bahasa ibunda, tetapi tidak kepada agenda negara. Saya tidak nafikan ramai juga orang Melayu menghantar anak-anak ke sekolah vernakular. Tetapi situasinya berbeza. Melayu dapat menguasai bahasa dan budaya Cina. Manakala Cina tetap dengan kecinaannya.

Inilah dilema pendidikan negara yang kita hadapi sekian lama. Tidak salah memandaikan anak kita dengan bahasa ibunda. Tetapi apakah langkah yang dibuat untuk memandaikan anak kita dengan bahasa negara? Pihak kerajaan terus mendakwa bahawa sekolah vernakular adalah satu kekuatan. Tetapi pernahkah kajian dibuat untuk melihat kesan sekolah vernakular ke atas pembangunan negara bangsa dan integrasi nasional?

Kita seharus merasa bertuah kerana dapat mengekalkan pendidikan ibunda di sini. Di negara lain, seperti Indonesia dan Thailand, bukan sahaja pendidikan vernakular diharamkan, hubungan dengan negara asal diputuskan sama sekali. Kelonggaran hanya diberikan pada tahun-tahun 1990an. Tidak seperti kita, tidak pernah melarang sama sekali. Saya yakin, jika dibuat kajian, sebahagian besar rakyat Malaysia, berhubung dan membuat lawatan yang amat kerap di negara asal. Pernahkah kerajaan menghalang?

Menurut Aimee Dawis (2002), orang Indonesia Cina yang membuat kajian mengenai orang Cina di sana, pada tahun 1965 hingga 1998, kerajaan Indonesia mengharamkan penggunaan bahasa Cina, tulisan Cina dan alat komunikasi Cina secara paksa. Semua perayaan kebudayaan orang Cina termasuk menyambut Tahun Baru Cina.

Bandingkan dengan negara kita, saban tahun sekolah Cina bertambah, perayaan kebudayaan bukan Islam disambut secara besar-besaran sehingga menenggelamkan perayaan kebesaran umat Islam. Malah cuti umum pun hampir sama dengan cuti perayaan agama rasmi ini. Masihkah kita tidak bersyukur?

Rakyat Malaysia sepatutnya fasih berbahasa kebangsaan. Tidak timbul soal ada yang langsung tidak dapat bertutur dan memahami bangsa kebangsaan. Buatlah kajian mendalam dalam isu ini. Bancian 2010 yang dibuat oleh jabatan perangkaan sudah cukup membuktikannya. Adakah perkara ini dibincangkan dalam perhimpunan MCA?

Ingatlah, titik permulaan dalam pembentukan Bangsa Malaysia tersebut terletak pada sistem pembelajaran negara kita. Janganlah kerana mahukan undi kita terpaksa melukut di tepi gantang. Akhirnya nanti, siapakah yang akan menerima akibatnya.