Monday, September 13, 2010

Pelik Tapi Benar : Tengku Muhammad Faris Petra Sultan Baru Kelantan




Tuesday, September 14, 2010

SEJAK kegeringan Tuanku Sultan Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra dan Tengku Mahkota, Tengku Muhammad Faris Petra dilantik sebagai Pemangku Sultan pada pada 14 Mei 2009, institusi keistanaan Kelantan agak berkemelut.

Pelbagai perkara yang tidak sepatutnya berlaku yang mana perkara seumpamanya tidak pernah berlaku di negeri-negeri lain, telah berlaku di Kelantan yang secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada pentadbiran negeri.

Semalam tercipta sejarah yang tidak dicipta oleh negeri-negeri lain apabila Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai Tengku Mahkota dan Pemnagku Sultan telah diisytiharkan pemasyhuran sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Pengumuman telah dibuat oleh Menteri Besar Kelantan, Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat setelah 15 daripada 17 anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang dipengerusikan Tengku Abdul Halim Sultan Ibrahim yang juga Tengku Laksamana Kelantan telah bermesyuarat pada pukul 9 pagi di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kota Darul Naim dan memutuskan supaya peristiharan pemasyhuran dibuat.

Bekas Pengerusi MPN, Tengku Sri Utama Raja Tengku Abdul Aziz Tengku Mohd. Hamzah menyufatkan peristiwa yang berlaku merupakan sejarah baru dalam kesultanan Kelantan. Ttidak pernah berlaku dalam sejarah sebelum ini seorang sultan baru dilantik ketika sultan yang sah masih hidup. Sebelum ini pelantikan sultan yang baru hanya dibuat selepas baginda sultan mangkat. Apa yang beraku adalah sejarah baru.

Kekanda kepada Tuanku Ismail Petra, Tengku Merjan Sultan Yahya Petra mendakwa adindanya itu masih merupakan Sultan Kelantan yang sah kerana baginda tidak melepaskan takhta. Beliau sebaliknya mendakwa, pelantikan Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan yang baru tidak memenuhi syarat dan melanggar Perlembagaan negeri yang menyatakan pemerintah Kelantan hanya boleh digantikan dengan tiga cara sahaja.yakni sekiranya baginda mangkat, menghilangkan diri dari negeri tanpa alasan yang munasabah dan atau pun jika sultan turun takhta.

Beliau yang mendakwa hanya mengetahui upacara pemasyhuran tersebut melalui berita yang disiarkan di televisyen dan tidak menyangka pihak berkenaan sanggup dan berani memperlakukan Tuanku Ismail Petra sedemikian menegaskan beliau tetap mempertahankan kenyataannya yang dikeluarkan sebelum ini bahawa mereka yang terlibat dalam usaha menyingkirkan adindanya sebagai penderhaka.

Baginya sebarang usaha yang dijalankan untuk menyingkirkan sultan daripada takhta adalah suatu penderhakaan dan menyalahi undang-undang. Beliau akan mendapatkan khidmat nasihat perundangan daripada peguam dan akan membawa perkara ini ke tengah agar segala kekeliruan akan terungkai.

Sukar untuk dipastikan sama ada perisytiharan pemasyhuran Tuanku Muhammad Faris Petra akan meredakan kemelut atau sebaliknya apabila dua orang kuat MPN yakni Tengku Razaleigh Hamzah dan Tengku Amalin Auisyah Putri tidak hadir. Apakah mereka tidak hadir kerana membantu atau tidak mahu terlibat dalam apa yang berlaku, juga sukar untuk dipastikan.

Apa puun sama ada ianya akan meredakan keadaan atau sebaliknya, terutama kemelut istana, Tuanku Muhammad Faris Petra kini adalah Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Kelantan dan jajahan takluknya yang sah di sisi kerajaan dibentuk ekoran mandat rakyat. Baginda kena akur kepada perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri kerana atas kapasiti baginda sebagai Tengku Mahkota dan Pemangku Sultan, maka bagindalah yang paling layak menggantikan Sultan jika keadaan memerlukannya.

Yang membuat keputusan pemasyhuran baginda adalah Majlis Perajaan Negeri Kelantan yang pastinya arif tentang tanggungjawab dan peranan mereka. Lagi pun bagi negeri yang mengamalkan sistem pemerintahan beraja, negeri perlukan raja atau sultan sebagai tunggak pemerintahan. Tempoh pemangkuan ada tempoh masanya.

Pastinya, pada pendapat saya, walaupun apa halangan yang baginda akan hadapi dari angkara pihak-pihak yang menentang perisytiharan pemasyhuran baginda sebagai Sultan dan Yang Dipertua bagi Negeri Kelantan dan sekalian tanah jajahan takluknya, kerana sifat baginda yang serba sempurna di mata rakyat, pasti rakyat akan berada di hadapan baginda untuk menentang segala rintangan dan hadangan.

Sejak diisytiharkan sebagai Pemangku Sultan, belum ada bari buruk tentan baginda, sebaliknya baginda sentiasa dipuji, malah hubungan institusi keistanaan dengan kerajaan negeri menjadi sangat mesra.

Apa pun, yang pastinya menjadi harapan rakyat Kelantan sama ada yang bermastautin di negeri kelahiran mahu pun yang berada di perantauan, malah tentunya menjadi harapan seluruh negara juga, supaya keamanan serta kemakmuran dan ketenteraan awam dipelihara dan terpelihara.

Mungkin apa yang berlaku itu pelik bagi rakyat negeri-negeri lain tetapi kepada rakyat Kelantan ianya bukan pelik sebagaimana mereka boleh tukar ganti kerajaan yang juga belum pernah dibuat oleh rakyat negeri lain sebelum pilihanraya umum ke-12, membuktikan bahawa orang Kelantan sanggup buat apa yang orang lain tidak sanggup buat.