Saturday, October 2, 2010

Kesan Perjanjian Tanah KTM Di Singapura



PADA 20 September lalu, Malaysia dan Singapura menandatangani perjanjian pertukaran tanah membabitkan tanah Keretapi Tanah Melayu Bhd’s di republik itu.

Ia dimeterai oleh Perdana Menteri Malaysia, Mohd Najib Abdul Razak dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, di kota singa.

Kedua-dua pemuka menguar-uarkan (bukan war-war) perjanjian itu sebagai kejayaan besar dan pembaikan ke atas “Point of Agreement (POA)” yang menjadi asas rundingan antara dua negara.

Saya tidak mahu berselisih faham, menyangkal atau menyangkal laporan dan ulasan media massa yang menghebahkan perjanjian itu sebagai “win-win” (menang-menang).

Saya sekadar ingin berkongsi maklumat dan interpretasi peribadi saya untuk kita dalami, fahami dan bahaskan. Berikut adalah antara inti pati, ciri dan implikasi perjanjian berkenaan:-

1. Dulu tanah KTM di Singapura adalah milik penuh dan mutlak Malaysia, walaupun kegunaannya terhad kepada operasi kereta api dan kekal hak Malaysia selagi operasi kereta api berjalan;

2. Sekarang tiga keping tanah KTM telah ditukarkan dengan sembilan keping tanah lain dan operasi kereta api akhirnya akan ditamatkan;



3. Menurut kenyataan bersama Mohd Najib-Lee Hsien Loong yang saya baca dari laman web kerajaan Singapura, bidang-bidang tanah gantian serta deskripsinya adalah seperti berikut:-

(A) Empat bidang tanah di Marina South dikenali sebagai TS30-361T, TS30-362A, TS30-363K dan TS30-364N serta dua bidang di Ophir-Rochor dicamkan sebagai TS13-1115N dan TS13- 1116X sebagai ganti kepada tiga keping tanah KTM di bawah Point of Agreement (POA) di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands serta tiga keping tanah di Bukit Timah yang dikenali sebagai Lot 76-2 Mk 16, Lot 249pt Mk 4 dan Lot 32-10 Mk 16);

(B) Empat keping tanah di Marina South itu terletak di tengah-tengah gugusan (cluster) kewangan dan perniagaan bagi Marina Bay manakala dua di Ophir-Rochor terletak di kawasan bersejarah Kampong Glam (Kampong Glam Historic District) yang berupa koridor baru pembangunan yang sedang dimajukan sebagai sambungan kepada Daerah Perdagangan Pusat (Central Business District); dan

(C) (Sembilan) Keping tanah di Marina South dan Ophir-Rochor (itu) akan diamanahkan kepada M-S Pte Ltd untuk dibangunkan secara usaha sama apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengosongkan Stesen Tanjong Pagar. Stesen KTMB akan dipindahkan dari Tanjong Pagar ke tempat pemeriksaan kereta api Woodlands (“WTCP”) menjelang 1 Julai 2011 bilamana Malaysia akan memindahkan kemudahan kastam, imigresen dan kuarantinnya (“CIQ”) di WTCP.

4. Tanah gantian itu akan dimajukan oleh syarikat usaha sama Malaysia-Singapura M-S Private Limited yang dimiliki 60 peratus oleh syarikat pelaburan milik kerajaan Malaysia, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan firma pelaburan kerajaan Singapura, Temasek Holdings.

5. Kalau dulu tanah KTMB dimiliki penuh dan mutlak Malaysia, kini tanah gantian kepada tanah KTMB itu dikongsi dengan Singapura melalui M-L Pte Ltd di mana Temasek memegang 40 peratus saham. Dalam bahasa yang mudah, Singapura dapat “percuma” 40 peratus daripada aset gantian itu.

6. Walaupun isu tanah KTMB ini dikatakan selesai, tetapi isu-isu tertangguh yang lain seperti pembekuan simpanan rakyat Malaysia dalam CPF, Perjanjian Bekalan Air serta penentangan Singapura terhadap projek Jabatan Bengkok masih berterusan.

7. Malaysia dan Singapura gagal bersetuju mengenai cukai pembangunan (development charges) yang dikenakan oleh kerajaan Singapura ke atas tanah gantian itu sehingga memaksa perbalahan itu dirujukkan kepada Mahkamah Timbang Tara Tetap (Permanent Court of Arbitration – PCA) di The Hague, Balanda.

8. Kenyataan bersama Mohd Najib-Hsien Loong mengenai hal itu berbunyi: “Both countries have different views relating to the development charges payable on the three parcels of POA land in Tanjong Pagar, Kranji and Woodlands. Both Leaders have agreed to settle this issue amicably through arbitration under the auspices of the Permanent Court of Arbitration. They have further agreed to accept the arbitration award as final and binding.”

[Kedua-dua negara mempunyai pandangan yang berbeza mengenai cukai pembangunan ke atas tiga keping tanah POA di Tanjong Pagar, Kranji dan Woodlands. Kedua-dua pemimpin bersetuju menyelesaikan isu ini secara aman melalui timbang tara di bawah naungan Mahkamah Timbang Tara Tetap. Mereka seterusnya bersetuju menerima keputusan timbang tara itu sebagai muktamad dan terikat.]

9. Sengaja diingatkan yang kali terakhir Malaysia dan Singapura membawa perbezaan mereka ke muka pengadilan antarabangsa, ia berakhir dengan Malaysia kehilangan pemilikan ke atas Pulau Batu Putih (Pedra Branca) kepada Singapura.

10. Melalui kolum “Other Thots” dalam majalah Malaysian Business keluaran 16-31 Julai lalu, saya telah memberi amaran kepada perunding Malaysia agar berhati-hati mengenai kemungkinan pemerintah Singapure mengenakan cukai pembangunan atau premium tanah yang melangit.

Saya memetik sumber-sumber yang arif mengenai POA sebagai berkata kerajaan Singapura mungkin mengenakan cukai pembangunan sekitar S$1.5 bilion (kira-kira RM3.05 bilion) selain premium tanah. Saya tidak tahu sama ada premium dikenakan atau tidak.

Tetapi sumber-sumber yang sama kini mengatakan cukai pembangunan mungkin mencecah S$2 bilion (RM4.6 bilion).

11. Andainya anggaran ini tepat dan keputusan PCA memihak kepada Singapura, maka Khazanah terpaksa menyeluk poket untuk mengeluarkan S$1.2 bilion (RM2.76 bilion) dan jumlah ini akan mengalir dari Malaysia ke Singapura.

12. Temasek perlu membayar S$800 juta tetapi tidak ada pengaliran keluar modal. Ia sekadar pemindahan dana dari poket Temasek ka poket perbendaharaan Singapura.

13. Seperkara lagi yang perlu penjelasan ialah taraf pemilikan tanah gantian itu -- adakah ia pegangan kekal atau pajakan 99 tahun? Tanah KTMB di Singapura adalah pegangan tetap selagi operasi kereta api berjalan.

14. Kalau saya faham kenyataan Mohd Najib dan Pengarah Urusan Khazanah, Azman Mokhtar, projek itu tetap dilaksanakan tidak kira kita kalah atau menanang dalam timbang tara oleh PCA. Malah kata mereka, projek ini akan dimulakan tanpa menunggu keputusan PCA. Jadi timbang tara oleh PCA adalah “akademik” atau sekadar melepas batuk di tangga.

15. Dalam konteks ini kita wajib meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada Mohd Najib dan Azman. Azman memberi jaminan bahawa projek ini “masih berdaya maju dan menguntungkan” walaupun cukai pembangunannya tinggi.

16. Kita tidak mahu Mohd Najib mengisytiharkan perjanjian ini sebagai menang-menang dan dia berjaya di mana Perdana Menteri-Perdana Menteri yang lalu gagal, tetapi akhirnya yang dikejar tak dapat yang dikendong berciciran.

17. Akhir sekali kita tidak mahu pelaburan Khazanah di Singapura menjadi seperti pelaburan Sime Darby di Qatar yang menghasilkan kerugian hampir RM1 bilion.

18. Berhati-hatilah, Singapura bukan sebarang jiran. Fahamilah istilah “kiasu” dan impaknya kepada “psyche” (cara berfikir) negara Singapura.

Di petik dari blog The Scribe A KADIR JASIN