Sunday, January 30, 2011

Sejarah dan Warisan Melayu




Sejarah adalah satu ilmu yang tersangat lah penting dalam pembinaan jati diri generasi bangsa. Dengan pengetahuan sejarah bangsa yang lengkap dan tepat, semangat untuk maju kehadapan bagi setiap individu dalam bangsa-bangsa tertentu akan lebih tertampil. Bangsa yang tidak menonjolkan sejarah hebat bangsanya akan mendung masa depan anak bangsanya. Bangsa yang mendung masa depan nya akan mundur kebelakang dan akhirnya bangsa itu akan hanya tertinggal dalam lipatan sejarah akibat ketidakmampuan untuk bersaing.
Semua ini berlaku kerana kita dari dibangku sekolah lagi disuapkan dengan bahan-bahan sejarah yang seakan bercelaru dan rompong di sana sini. Tidak hairan lah jika anak Melayu di zaman moden ini amat fobia dengan subjek sejarah di sekolah. Sudahlah perlu menghafal pelbagai kronologi sejarah yang rumit serta tarikh-tarikh yang sebegitu banyak. Ditambah lagi dengan segala fakta yang langsung tidak mengujakan jiwa dan perasaan orang Melayu yang sememangnya akan mematikan terus minat untuk mempelajari sejarah.


Perhatikan kronologi sejarah yang kita belajar dari buku teks di sekolah:
  1. Penduduk di bumi bertuah ini melalui zaman Paleolitik, Mesolitik, Neolitik dan sebagainya serta dikatakan tinggal di dalam gua dan hidup berpindah randah
  2. Kumpulan manusia di nusantara ini mula belajar bercucuk tanam, menangkap ikan, membina rumah dan belajar bermasyarakat
  3. Proses ketamadunan semakin pesat kemudiannya sehingga penduduk di Asia Tenggara mula berkerajaan samada dalam bentuk agraria ataupun maritim
  4. Wujud kerajaan awal di Asia Tenggara ini seperti Funan, Pan-Pan, Chih-Tu, Champa dan sebagainya dan kita telah belajar tentang agama Buddha dan Hindu menjadi anutan utama semasa itu
  5. Selepas itu, muncul Kerajaan Melaka seiring dengan kedatangan Islam di Asia Tenggara.
  6. Jatuhnya Empayar Melaka ke tangan Bangsa Eropah
  7. Episod penjajahan pun bermula sehingga lah kepada kronologi untuk mencapai kemerdekaan.
  8. Sela masa pasca-merdeka sehinggalah hala-tuju Malaysia ke arah Wawasan 2020.


Jika kita perhatikan di atas, dalam rentetan sejarah yang kita pelajari di sekolah, hanya 20% dari sub-topik ini menonjolkan kejayaan bangsa Melayu dalam membina ketamadunan.

Jikalau ditanya kepada kebanyakan pelajar sekolah menengah, mereka secara rata-rata hanya mengenali Empayar Melaka sebagai satu-satunya topik yang menonjolkan kehebatan bangsa Melayu. Di mana Bangsa Melayu sebelum era Kesultanan Melaka? Kenapa pengasas Kesultanan Melaka yang dikenali sebagai warisan hebat orang Melayu Parameswara seorang Putera Raja dari Sumatera, Indonesia?


Kesilapan yang maha besar dalam mempelajari sejarah dan memahami kronologi sejarah telah berlaku dalam  pendidikan mata pelajaran sejarah di Malaysia ini. Dua kesilapan utama dalam pengolahan fakta sejarah di negara kita adalah :


1. Mempelajari sejarah dalam ruang lingkup sempadan geografi MALAYSIA sahaja.
 Dalam pembelajaran sejarah, terutama konteks sejarah Asia Tenggara, tidak boleh tidak kita mesti mempelajari sejarah keseluruhan rantau Kepulauan Melayu (Malay Archipelagos) secara terperinci.

Sejarah Malaysia tidak boleh dipelajari hanya dalam ruang lingkup sempadan Malaysia moden sahaja. Ini kerana sejarah di Malaysia/Tanah Melayu ini sangat berkait rapat dengan sejarah seluruh Nusantara ini dan tidak terhad kepada Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak! Nenek moyang kita bebas belayar dengan kapal-kapal untuk berhubungan dengan saudara-saudara mereka di pulau-pulau berdekatan.

Semua suku kaum dalam ‘Rumpun Melayu’ ini adalah bersaudara dan memiliki tanah bertuah ini. Tidak begitu menghairankan jika terdapat orang Melayu suku Pattani/Siam berkampung di Acheh, suku Bugis membuka penempatan di Selangor, suku Jawa membuka tanah di Sumatera Barat dan sebagainya. Kenapa?


Ini kerana nusantara ini adalah hak milik rumpun Melayu yang terdiri dari pelbagai suku. Tidak timbul istilah migrasi antara suku kaum kita sendiri di Nusantara ini sebelum persempadanan moden wujud. Ketidakfahaman kepada konsep ini lah yang menyebabkan ramai penduduk Malaysia terutama bukan Melayu terkeliru dengan takrifan bumiputera ini. Ramai antara kita yang menyempitkan batas rumpun Melayu itu hanya dalam ruang lingkup sempadan Malaysia sahaja.


Proses imprealisasi dari penjajah-penjajah Eropah lah yang menyebabkan kecelaruan ini timbul. Nusantara yang pada asalnya milik kita bersama ini mula dibahagi-bahagikan sesuka hati mereka. Kesan persempadanan nusantara ini sangat memberikan impak yang besar kepada generasi baru terutamanya rakyat Indonesia. Rakyat Indonesia begitu berbangga dengan bangsa khayalan yang bernama ‘Indonesia’ ini. Sehingga ada yang tidak mengaku serumpun dengan ‘Melayu’ di Malaysia ini. Padahal semua suku dalam rumpun Melayu ini adalah bersaudara dan tiada apa yang dinamakan Indon ataupun Melayu.


Model pembelajaran sejarah yang tidak betul inilah yang menyebabkan kita memandang saudara kita di Indonesia seumpama ‘alien’ dari planet lain. Walhal kita sendiri di Malaysia mempunyai pelbagai darah campuran pelbagai suku di Nusantara ini termasuk Jawa, Sunda, Madura, Minang, Mendailing dan sebagainya.

Inilah hasilnya jika kita tidak telus dalam menyusun kronologi sejarah kita dengan tepat. Sehinggakan setelah 50 tahun lebih kita merdeka, telah wujud sikap prejudis ke atas saudara-saudara kita dari seberang sana dan ditambah lagi dengan sikap ‘Bangsa Indonesia’ yang gigih mahu kekal dalam fantasi bangsa ciptaan penjajah!


2. Menelusuri sejarah hanya Kesultanan Melayu Melaka sahaja.
Sebagaimana yang kita tahu, Kesultanan Melayu Melaka adalah Kerajaan Melayu yang paling tersohor sekali dalam lipatan sejarah Malaysia. Empayar Melaka di angkat sebagai simbol kewujudan bangsa Melayu di Malaysia.

Segala-galanya seolah-olah bermula dari Melaka. Rata-rata dalam perbincangan mengenai ketamadunan dan kependudukan Melayu di bumi Malaysia ini, Melaka adalah amat terkedepan sekali.

Mungkin sejarah kita disusun sedemikian kerana pengaruh Islam dikatakan mula tersebar meluas melalui hegemoni pemerintahan sultan-sultan Melaka. Bermaksudnya di sini, takrifan Melayu = lahir dari ibu atau bapa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat istiadat Melayu bertitik tolak dari sini. Melaka agak tersohor dalam sejarah Malaysia kerana pusat pentadbiran nya terdapat di Semenanjung Malaysia serta mempunya sejarah yang seiring dengan perkembangan Islam di Nusantara.


Penonjolan Melaka dalam sejarah adalah amat bertepatan sekali dengan maksud dan tujuan kita mempelajari sejarah. Ini kerana Melaka adalah empayar yang tebukti hebat bukan sahaja tercatat dalam manuskrip tempatan, tetapi telah dirakamkan oleh catatan-catatan pengembara dari China, Pedagang Arab dan juga tersimpan kemas dalam perpustakaan Bangsa Eropah seperti Portugis dan Belanda. Tetapi di sini, sejarah bangsa Melayu tidak bermula setakat Kesultanan Melaka sahaja! Pemahaman sebeginilah yang menyebabkan berlaku kecelaruan dalam minda golongan muda kita hari ini!

Parameswara, pengasas kesultanan Melaka dikatakan berasal dari Indonesia. Kota Gelanggi yang dikatakan berada di Johor dikatakan mempunyai pengaruh Siam. Ketamadunan Lembah Bujang dikaitkan dengan ketamadunan India dan macam-macam lagi pemutar-belitan dalam pemahaman sejarah Malaysia.

Semua ini berlaku disebabkan kita tidak diajar tentang perihal bangsa Melayu di nusantara ini pada zaman pra-Islam. Bila ditanya guru sejarah di sekolah tentang Srivijaya, Majapahit, Champa, Funan, Ligur dan sebagainya, mereka mengatakan tiada hubungan kerajaan-kerajaan ini dengan bangsa Melayu.

Kenapa kita hendak malu dalam mengakui ketamadunan rumpun Melayu di era pra Melaka/Islam? Kenapa dalam sejarah kita tidak mempelajari sejarah terperinci mengenai Srivijaya? Adakah kerana Srivijaya adalah sinonim dengan Indonesia? Adakah kerana Srivijaya di bawah pengaruh Buddha dan Champa di bawah pengaruh Hindu, maka ketamadunan Melayu ini dipinggirkan dari lipatan sejarah Malaysia?

Srivijaya sememangnya adalah empayar Melayu berkurun sebelum kedatangan Islam ke nusantara. Pada masa itu, seluruh kerajaan-kerajaan dan pelabuhan-pelabuhan kecil yang ada di Nusantara, bernaung di bawah nama Srivijaya. Di samping Melaka, kita boleh juga berbangga dengan Srivijaya! Ini belum lagi kita bercerita tentang Champa dan Funan yang mempunyai ketamadunan yang tinggi sejak abad pertama Masehi! Semua kerajaan purba ini adalah kerajaan orang-orang Melayu. Bukti-buktinya tercatat kemas di dalam bukti-bukti batu bersurat, catatan pedagang, catatan para pendakwah Hindu/Buddha dan sebagainya.

Dua kesilapan di atas membawa kepada banyak kecelaruan dalam kronologi sejarah Malaysia. Apabila dua konsep utama ini tidak dipatuhi, sememangnya sejarah kita seakan-akan banyak lompang di sana-sini. Dalam kewujudan lompang-lompang ini lah, golongan pelampau tertentu boleh mengambil peluang memanipulasi sejarah kita kembali.

Kalau bagi kita yang disuapkan dengan sejarah konvensional di sekolah, sememangnya hujah mereka seakan logik. Ini kerana ruang-ruang kosong dalam sejarah kita ini digunakan dengan sebaiknya untuk menegakkan teori masing-masing.

Jadi semua ini salah siapa? Ini berlaku akibat ketidak telusan serta sikap malas penggubal mata pelajaran sejarah sejak sekian lama!

Ini adalah sikap biasa dikalangan golongan pelampau, akan ada ‘bijak pandai’ di kalangan mereka mencari bukti-bukti dan fakta-fakta sejarah yang akan memanipulasi rompong-rompong dalam sejarah Malaysia tercinta ini.

Dan apabila hujah-hujah ini di sebarkan, anak-anak Melayu pula yang berasa gelabah disebabkan kurangnya pendedahan tentang sejarah Melayu yang telus dan benar. Ini diparahkan lagi dengan ‘mind set’ bahawa sejarah ini adalah tidak penting. Sedih betul melihat anak bangsa aku begitu bersemangat memperlecehkan sejarah bangsa mereka sendiri. Sudahlah sejak sekian lama dimomok kan tentang kelemahan bangsa Melayu, timbul pula golongan yang ‘angguk-angguk geleng-geleng’ dengan pendapat yang menjatuhkan maruah bangsa sendiri!



Sedarlah bahawa dengan sejarah yang telus, Melayu adalah penduduk asal Nusantara sejak ribuan tahun.
Semua pengkaji sejarah dunia tahu akan hal ini. Kesilapan kita adalah kerana tidak menerangkannya dengan terperinci.

Jangan tertumpu hanya pada sejarah Melaka sahaja kerana beribu tahun sebelum kewujudan empayar Melaka, orang-orang Melayu sudah mempunyai tamadun yang hebat. Tanpa sejarah yang telus, tidak hairanlah bangsa Melayu mengalami sindrom ‘rendah diri’ atau pun ‘inferiority complex’.

Dengan memperbetulkan fakta sejarah dalam silibus matapelajaran, jati diri anak bangsa kita dapat dibangkitkan dan tidaklah mereka menganggap nenek moyang mereka amat lemah sekali dan sering menjadi tunjalan kaum pendatang dan penjajah. Sejarah yang tidak telus akan mencelarukan fikiran anak bangsa kita apabila bersaing dengan bangsa-bangsa lain.